Thursday, November 26, 2009

PERJALANAN PASUKAN TKRS SKPTM

TAHUN 2008

Pada 29 Mac 2008, Pasukan TKRS puteri SKPTM, buat kali yang keenam berturut-turut telah berjaya menjadi johan daerah dan pada 8 Mei 2008, bertempat di Pusat Kokurikulum pasukan kawad SKPTM telah dinobatkan sekali lagi sebagai johan negeri. Pasukan kawad SKPTM akan mewakili Pulau Pinang ke pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan di Kelantan.

Satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan iaitu perjalanan yang rasanya begitu jauh. Kami bertolak pada pukul 9.00 pagi dan hanya sampai ke tempat penginapan kami pada pukul 6.30 petang. Perasaan bosan dan letih dapat dirasai oleh semua dan perasaan itu hilang apabila kami berhenti sama ada untuk makan.

Seperti kebiasaan pada hari pertandingan ada seorang ahli pasukan kawad akan muntah sebelum pertandingan. Keadaan ini menjadikan suasana agak kelam-kabut kerana terpaksa mengambil ahli simpanan menggantikan pelajar yang muntah itu semasa pemeriksaan pakaian . Pelajar itu juga perlu dirawat supaya dapat mengambil bahagian apabila tiba giliran nanti.

Syukur, pasukan TKRS SKPTM telah berjaya membuat persembahan yang mantap. Cuma masalah suara ketua platun dimana dia terpaksa memberi arahan sambil menelan air liurnya untuk memastikan arahan dapat diberi sehingga selesai telah menyebabkan pasukan ini terlebih dari masa yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun saya gembira kerana pasukan ini teleh memberi satu persembahan yang amat baik. Walaupun tidak mendapat tempat yang baik namun ia akan dijadikan satu pengajaran untuk memburu tempat pada tahun hadapan.

" Pantang Berundur Setelah Melangkah "


Latihan Penyesuaian Tapak

Cikgu Mazilah dan Cikgu Lina membantu menggosok pakaian kawad.



Persembahan sewaktu pertandingan.



Tahun 2007

Bertempat di SMKA Nibong Tebal, pasukan kawad TKRS SKPTM telah berjaya menjadi johan buat kali ke-lima. PAsukan ini telah dilatih sepenuhnya oleh saya dan dibantu oleh guru-guru SKPTM berbanding dengan pasukan lain yang dilatih oleh anggota polis dan tentera. Saya berasa bangga dengan persembahan mereka yang lebih baik

dari kebanyakkan pasukan yang bertanding. Walaupun ada beberapa kesalahan kecil namun semua itu akan diperbaiki menjelang pertandingan peringkat negeri.

Johan Daerah 2007

Bergambar Kenangan Dengan Guru-Guru

Pertandingan peringkat negeri telah diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Perai Selatan. Pada pagi yang keramat itu pasukan kawad TKRS SKPTM telah membuka gelanggang dengan persembahan yang mantap. Sekali lagi pasukan TKRS SKPTM telah dinobatkan sebagai johan negeri buat kali ke-lima mengalahkan pasukan-pasukan lain.

Satu peristiwa yang melucukan berlaku apabila salah seorang ahli kawad SPTM hampir terlucut seluarnya kerana terlupa memakai tali pinggang. Walaubagaimanapun dia berjaya mengawal seluarnya sehingga selesai persembahan. Selain itu pasukan yang berjaya menjadi johan diminta membuat persembahan semula dan oleh kerana ia dilakukan sewaktu matahari tegak diatas kepala beberapa orang pelajar terpaksa ditarik keluar sewaktu persembahan berlangsunguntuk mengelakkan mereka dari pengsan. Saya berasa berbangga kerana mereka dapat menyudahkan persembahan walaupun beberapa orang rakan mereka mengalami pitam.

Pemeriksaan Pakaian

Johan Negeri 2007

Persiapan rapi telah dilakukan bagi memantapkan persembahan kerana pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan di tempat sendiri iaitu Pulau Pinang. Maka sebagai pasukan tuan rumah adalah menjadi harapan untuk memperolehi tempat yang terbaik sewaktu pertandingan. Latihan diadakan pada setiap petang disamping menjalani latihan pusat di SMKA Nibong Tebal dibawah pengawasan PPD Selatan. Pasukan kawad TKRS SKPTM yang mewakili Pulau Pinang telah berkampung di Sekolah Sains Bukit Mertajam.

Walaupun pasukan ini dibentuk untuk mendapat tempat tetapi takdir menentukan apabila sewaktu pertandingan salah seorang peserta telah tersepak kun di dalam gelanggang. Selain itu pada masa yang sama aksesori pada pakaian telah tercabut. Tidak dapat dinafikan kejayaan menjadi jauh untuk digapai dan sedikit perasaan kecewa menyelubungi diri saya kerana ini merupakan sebuah pasukan yang mantap. Namun sebagai manusia kita perlu redha dengan takdir dan mencuba lagi di masa hadapan.

Latihan Ke Peringkat Kebangsaan

Latihan Ke Peringkat Kebangsaan

Berkampung Di Sekolah Sains BM

Berkampung Di Sekolah Sains BM

Hari Pertandingan Di Bandar Perda BM

Hari Pertandingan Di Bandar Perda BM

Shaiful Fairuz Shahhidan

TAHUN 2006

Saya mula bertugas di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat pada tahun 2006. Pada tahun itu juga saya telah diamanahkan untuk mengambil alih latihan Pasukan Kawad Kaki TKRS Puteri dari Cikgu Reza yang telah melanjutkan pelajaran. Sejak dari tahun 2006, saya bersama-sama Cikgu Mazilah dan Cikgu Lina telah melatih dan membentuk pasukan kawad sekolah yang mantap dalam mempertahankan gelaran johan daerah dan negeri yang telah dimenangi sejak tahun 2003 lagi. Bersyukur kami kepada ilahi kerana masih berjaya mengekalkan gelaran tersebut hinggalah saya bertukar ke Perlis pada tahun 2009.

Banyak pengalaman yang berharga saya perolehi sewaktu saya melatih pasukan kawad ini. Antaranya dapat terbang ke negeri Sabah pada 2006, bertanding di negeri sendiri pada tahun 2007 dan ke negeri Kelantan iaitu negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun 2008. Tingkah laku pelajar yang berbagai-bagai sehingga memeningkan kepala lagi-lagi pula semuanya pelajar perempuan.

Pasukan ini telah berjaya mempertahankan johan daerah pada tahun 2006 yang diadakan di SMKA Nibong  Tebal. Ia sekaligus menyaksikan pasukan ini akan bertanding di peringkat negeri yang diadakan di pusat kokurikulum negeri. Pasukan ini membuat persembahan yang membanggakan untuk dinobatkan sebagai johan negeri pada tahun 2006. Kejayaan ini membolehkan semua ahli pasukan kawad untuk terbang ke negeri Sabah untuk pertandingan peringkat kebangsaan. Betapa bertuahnya mereka kerana hampir semua dari mereka tidak pernah menaiki kapal terbang. Ini merupakan pengalaman yang berharga buat mereka.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan semasa pertandingan di Sabah ialah apabila pelajar pengsan sewaktu sedang menunggu giliran untuk membuat persembahan. Keadaan menjadi kecoh apabila seorang pelajar lagi pula pengsan. Hampir saja penyertaan kami dibatalkan tetapi atas campur tangan pihak penganjur kami ditukar giliran. Bangga sungguh saya apabila pelajar-pelajar yang pengsan itu terus membuat persembahan walaupun keadaan mereka tidak berapa sihat. Itulah kenangan sewaktu berada di Sabah.

Johan Daerah 2006

Johan Negeri 2006

No comments:

Post a Comment